Saya masih belum melelapkan mata. Sekejap tadi, dalam perjalanan pulang dari hospital, saya menangis teresak-esak.
Saya sudah menangis sebelumnya, tetapi tidak sekuat tadi. Di laman facebook, rata-rata menuliskan Al-Fatihah. Saya seperti disedarkan.
Benar sungguh, Yasmin Ahmad sudah tiada. Sebelum pulang tadi, saya sendiri melihat bagaimana suaminya meratapi ketika jenazah dibawa keluar dari ICU.
Saya pasti apa yang dirasai Tan Yew Leong ketika itu lebih pedih daripada apa yang saya dan yang kita semua rasakan atas kehilangannya.
Yasmin Ahmad bukan saudara kandung saya.
Saya tiada pertalian darah dengannya. Tetapi untuk sekali ini, benarkan saya 'melanggar' sedikit batas profesionalisme perhubungan kami.
Ia bukan sekadar hubungan seorang wartawan dengan seorang karyawan. Izinkan saya bercerita.
Saya mengenali Yasmin sekitar tahun 2004. Saya masih baru bergelar wartawan di KOSMO!.
Sebelum itu, saya hanya membaca tentangnya dan menonton Rabun dalam slot Cerekarama TV3.
Saya ditugaskan menemu ramahnya mengenai filem Sepet yang ketika itu mendapat banyak potongan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Yasmin berkeras enggan menayangkannya di pawagam. Pada sesi temu ramah itu, saya disambut ramah dengan seteko air teh.
Bercerita dengannya seperti sudah berpuluh-puluh tahun kenal.
Antara kata-katanya yang masih saya ingat: "Saya buat filem kerana ibu bapa saya. Tak apalah kalau orang tak suka, asalkan orang tua saya bahagia."
Saya kemudian diajak menonton versi asal Sepet di panggung kecil di pejabatnya di Leo Burnett. Saya dibiarkan berseorangan.
Bila filem tamat, Yasmin datang bukakan lampu. Mata saya bengkak. Dia senyum, memeluk saya sambil berkata: "Cengeng!"
Keakraban kami mula tumbuh sejak itu. Apabila Yasmin akhirnya berlembut mahu menayangkan Sepet di pawagam, sayalah orang yang paling kuat mencanangkan kepada rakan-rakan supaya menonton.
Saya sendiri pergi ke panggung tiga kali. Setiap kali ada berita terbaru mengenai Yasmin, sayalah orang yang menulisnya.
Sampai ada yang mempersenda saya 'wartawan residen' Yasmin Ahmad, tetapi saya tidak peduli.
Dan saya juga tidak kisah menerima SMS daripadanya yang selalu datang lewat malam.
Idea-idea yang mahu dikongsinya bersama, rasa syukurnya tentang kemenangannya di festival-festival, mahupun sekelumit kekecewaannya terhadap beberapa pihak yang tidak penat menyakiti.
Dia juga betah mengajak saya ke pejabatnya. Saja-saja datang minum teh, atau makan tengah hari, atau tonton iklan terbaru arahannya, bukan atas dasar kerja (okey ada waktu saya mengaku saya sendiri yang menawarkan diri, tetapi dia tidak pernah berkata tidak).
Sebelum balik, dia akan bekalkan lagu-lagu simpanannya, ada juga lagu dari filem-filemnya seperti Hujan dan Ne Me Quitte Pas.
Waima, ketika saya putus cinta pun, dia menawarkan telinga untuk mendengar.
Satu perkara yang saya belajar daripadanya, dia ada menasihat, tetapi langsung tidak pernah menilai atau menjatuhkan hukuman.
Apatah lagi mengajar untuk membenci dan berdendam.
Sejak Sepet, kemudian Gubra, Mukhsin, Muallaf sampailah ke Talentime, saya antara pengunjung tetap panggung kecil di Leo Burnett itu.
Baru habis penggambaran, baru siap suntingan kasar, saya sudah meminta untuk menonton.
Sekali lagi, permintaan saya tidak pernah dihampakan.
Saya masih ingat, saya sanggup berpanas terik di Tanjung Karang, Selangor untuk meninjau lokasi Mukhsin.
Kalau tentang Yasmin, saya tidak perlu menunggu arahan editor untuk tugasan. Saya yang merelakan diri.
Begitu juga semasa penggambaran filem Muallaf di Ipoh, Perak. Saya masih mahu pergi melaporkan Sharifah Amani membotakkan kepala, walaupun hari itu merupakan hari terakhir saya bertugas di KOSMO!.
Pertengahan bulan Ogos tahun lalu, saya tersenyum macam kerang busuk bila Yasmin menghantar SMS yang tertulis: "Yang, you nak tak berlakon Talentime? Jadi judge, along with Jason Sepet and few others?"
Saya tidak sangka, gurauan lama saya masih dia ingat. Saya tidak kisah jadi pak pacak!
Biar tiada dialog, biar hanya beberapa saat kemunculan di layar, saya berterima kasih, hasrat saya yang mengada-ngada itu ditunaikannya.
Saya pasti, hari ini, bukan ibu bapanya saja yang bahagia menonton filem-filemnya, tetapi kita juga.
Lebih daripada itu, kita akan merindui iklan-iklan hari raya, merdeka, Gong Xi Fa Cai dan segala macam perayaan, hasil sentuhannya.
Yasmin, mampukah kami mencari penggantimu?
Saya pernah menulis perkataan ini semasa mengulas filem Mukshin - Yasmin tidak pernah gagal membuat saya menangis.
Hari ini, Yasmin buat saya menangis lagi. Kali ini bukan kerana filem-filemnya, tetapi kerana dia sudah meninggal dunia.
Al-Fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad. Kami pasti akan merinduimu...
written by Syazwan Zakariah
SYAZWAN ZAKARIAH merupakan bekas wartawan hiburan KOSMO! yang kini bertugas sebagai penyampai dan pengarang hiburan Astro Awani.

No comments:
Post a Comment