Thursday, July 2, 2009

VICCB ke Modena, Italy

Keratan akhbar Utusan Malaysia

SEPANG 1 Julai - Pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VI) berazam untuk muncul sebagai juara Pertandingan Pancaragam Dunia di Modena, Itali pada 5 Julai ini, sekali gus mengulangi kejayaan pada 2003.

Kaptennya, Abdullah Imran Abdullah Hashim, 18, berkata, pada pertandingan kali ini, pasukannya mempertaruhkan persembahan berkonsepkan Valcano bersesuaian dengan sambutan 100 tahun penubuhan pasukan pancaragam VI itu.

''Kami akan membawakan lagu filem Puteri Gunung Ledang (PGL) yang digubah bersesuaian dengan rentak pancaragam berkawad.

''Jadi kami harap dapat melakukan yang terbaik setelah bertungkus lumus menjalani latihan sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita sebelum bertolak ke Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pasukan tersebut disertai oleh 89 pelajar termasuk jurulatih dan turut serta ialah Pengetua VI, Azizah Othman sebagai guru pengiring.

Pancaragam VI pernah mewakili negara ke kejohanan tersebut pada 2003, 2005 dan 2006.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hadir di sini bagi memberikan kata-kata semangat kepada pasukan pancaragam itu.

Abdullah Imran berkata, setakat ini, saingan terdekat mereka adalah Thailand dan Jepun.

''Thailand memang memberikan cabaran, sebab itu jurulatih kami pun didatangkan dari negara itu.

''Bagaimanapun, kami cukup bersedia kerana telah membuat latihan pada setiap Isnin dan Rabu selain hari Sabtu dan sepanjang cuti sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berharap pasukan pancaragam VI akan dapat mencatatkan nama mereka di peringkat dunia.

''Dengan itu, kita pada satu hari nanti boleh meminta untuk menjadi tuan rumah kepada pertandingan pancaragam dunia.

''Oleh kerana nama Malaysia sudah dicatatkan sebagai mempunyai pasukan pancaragam dihormati dunia, jadi kita yakin pasukan-pasukan lain akan hadir untuk menyertainya di sini," katanya.


Ihsan dari Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment